Sabtu, Mei 29, 2010

Wakil Pasukan Bola Jaring Terengganu

Syabas diucapkan kepada 2 murid SKBC iaitu adik Azzahratul Asaadah dan Nurul Nalieysa Nadia kerana berjaya mendapat tempat dalam pasukan bola jaring MSST. Mereka akan menyertai pertandingan bola jaring peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada 6hb. Jun. Menurut jurulatih SKBC dan juga selaku jurulatih Daerah KTU, Cikgu Sabariah menyatakan bahawa tahun 2010 mencatat sejarah bagi SKBC kerana buat pertama kalinya 2 orang terpilih mewakili negeri. Pada tahun - tahun sebelumnya hanya seorang sahaja yang terpilih. Syabas sekali lagi diucapkan semoga terus berjaya bermain dengan cemerlang.

Rabu, Mei 19, 2010

Latihan Keselamatan & Pencegahan Kebakaran

Pada 18hb. Mei SKBC telah mengadakan satu siri latihan keselamatan dan pencegahan kebakaran. Latihan tersebut telah dijalankan oleh AJK Kebakaran dan Panitia Sains. Sesi latihan dimulakan selepas rehat yang melibatkan pergerakan semua murid dan guru ke tapak perhimpunan melalui jalan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa. Aktiviti tersebut berjalan lancar dengan kerjasama semua guru dan murid. Selepas itu dua orang pegawai Bomba dari Balai Bomba Kuala Terengganu telah dijemput untuk membuat taklimat keselamatan dan seterusnya membuat demontrasi bagi memadamkan api kebakaran dengan menggunakan pemadam api. Pegawai tersebut ialah Encik Mazlan dan Encik Khairuddin telah memberi banyak tip bagi menangani keadaan kecemasan dan kebakaran. Beberapa orang guru dan murid telah diberi peluang melakukan demo menggunakan pemadam api. Jawatan kuasa mengucapkan ribuan terima kasih kepada dua orang pegawai tersebut yang telah sama - sama menjayakan sesi latihan.

Isnin, Mei 17, 2010

Sambutan Hari Guru 2010


Bertepatan tarikh 16 Mei 2010 SKBC telah mengadakan majlis Sambutan Hari Guru 2010 dengan tema `Guru Pembina Negara Bangsa'. Majlis bermula dengan perhimpunan pagi semua guru dan murid di tapak perhimpunan. Pengisian utama ialah bacaan Perutusan Menteri Pelajaran dan Pengarah Pelajaran Negeri yang disampaikan oleh Guru Besar Puan Azizah dan Penolong Kanan Satu Cikgu Aziz. Kemudian semua guru menyanyikan lagu `Guru Malaysia` dan diikuti oleh murid - murid menyanyikan lagu `Terima Kasih Cikgu'. Selepas acara itu semua guru sama - sama menyising lengan bertarung di medan sukaneka dan permainan. Guru perempuan menunjukkan kehebatan dengan menumbangkan cabaran wakil - wakil daerah KTU dalam acara bola jaring. Manakala guru lelaki pula agak malang apabila ditewaskan oleh ? dengan jaringan 2-1. Acara terakhir pada hari itu ialah persembahan oleh guru dan murid - murid. Guru - guru yang bertuah akan terpilih untuk menunjukkan bakat masing - masing sama ada nyanyian, deklamasi sajak, berteka teki dan sebagainya. Kemeriahan majlis pada hari itu diakhiri dengan jamuan bufet dengan juadah yang menyelerakan ditambah dengan perut yang sememangnya kosong. TERIMA KASIH CIKGU......