Sabtu, Ogos 20, 2011

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-24


       Pada hari Sabtu, 16hb. Julai 2011 PIBG SKBC telah mengadakan Mesyuarat Agung kali ke24. Mesyuarat telah dirasmikan oleh wakil PPD. Kehadiran para ibubapa pada kali ini agak mengecewakan. Sebelum mesyuarat satu majlis penyampaian hadiah kepada pelajar - pelajar cemerlang UPSR 2010 telah diadakan. Seramai 10 orang daripada 14 pelajar yang mendapat 5A telah menghadirkan diri. Dalam mesyuarat tersebut, majlis dengan sebulat suara bersetuju untuk mengekal semua AJK sedia ada. 

Ahad, Ogos 07, 2011

Keinsafan Di Kem UPSR

Anak didikku……
Apabila kakimu melangkah ke sini…
Ingatlah akan ibu dan bapamu....
Mereka berkerja keras siang dan malam..
Hanya untukmu…anak didikku…



Anak didikku. . .
Kedatanganmu sangat beerti dan bernilai...
Di bahumu terletaknya seribu harapan. . .
Harapan besar dari ayah dan ibumu...
Harapan yang tidak pernah luntur sekian lama. . .
Hanya inginkan anaknya menjadi insan berguna...
Dan menjadi anak yang soleh. . .
Jangan kecewakan mereka...anak didikku...

Anak didikku...
Lihatlah wajah guru-gurumu...
Renungilah dengan penuh kasih sayang
Walau mereka pernah memarahi
Walau mereka pernah memukul
Walau mereka pernah menyakitimu
Percayalah...
Itulah kasih sayang mereka padamu...
Sematkanlah dalam hatimu...

Anak didikku
Merekalah insan yang berhati mulia
Tiada tolok bandingnya di dunia ini
Kerana merekalah
Anak-anak didikku
Mengenal A, B dan C serta alif, Ba dan Tha
Mereka sanggup mengorbankan segalanya...
Hanya untukmu...anak didikku....
Wajah-wajah ini begitu mengharapkanmu
Menjadi insan yang berjaya dan berguna
Satu hari nanti

Isnin, Julai 18, 2011

Larian 1Murid, 1Sukan, 1Malaysia


Tepat pada 7:45 pagi, 2 Julai 2011, para pelajar, guru-guru dan wakil PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit  Chempaka telah mengikuti program 1M 1S 1M yang telah dijalankan serentak seluruh Malaysia. Program larian ini diadakan sempena Perasmian Program 1Murid 1Sukan 1Malaysia. Larian ini juga bertujuan untuk mencatatkan rekod dalam Malaysian Book of Record sebagai larian yang mendapat penyertaan paling ramai dan dilepaskan secara serentak seluruh Malaysia.
Larian diperingkat SKBC telah mendapat penyertaan dari semua murid Tahap 2 iaitu seramai lebih 200 orang, 35 orang guru, 4 orang kakitangan sekolah dan beberapa orang wakil PIBG.  Jarak larian hampir lebih 2km iaitu melalui trek rentas desa yang telah diadakan. Alahamdullilah larian berakhir pada pukul 9.30 pagi dan disambung dengan acara mewarna, melukis dan gotong - royong.


Kejohanan Olahraga dan Sukaneka 2011

Kejohanan bagi tahun ini berlangsung pada 26 hingga 27 April. Berbagai acara olahraga dan sukaneka yang dipertandingkan. Antaranya acara 50m, 100m, 2 X 100m bagi acara balapan. Lompat tinggi, lompat jauh,dan lontar peluru bagi acara padang. Acara kemuncak bagi kejohanan ini ialah acara tarik tali antara rumah. Bagi lelaki  acara ini dimenangi oleh rumah Biru menewaskan rumah Kuning manakala bagi acara perempuan, Rumah Kuning muncul sebagai pemenang apabila menewaskan rumah Biru. Acara untuk ibubapa dan guru turut diadakan bagi memeriahkan kejohanan. Kejohanan pada kali ini menyaksikan Rumah Merah telah muncul sebagai Juara setelah mengutip 181 mata diikuti Rumah Hijau 165 mata, Rumah Kuning 161 mata dan Rumah Biru 142 mata. Kejohanan pada tahun ini menobatkan Adik Muhammad Syahmim Izzat Mohamad sebagai olahragawan manakala adik Alia Fatin Nadhirah Ali sebagai olahragawati setelah memenangi beberapa acara yang disertai.






Selasa, Julai 12, 2011

Sambutan Hari Guru SKBC 2011



Sudah menjadi kemestian setiap tahun 16 Mei menjadi tarikh keramat bagi golongan guru. Bertepatan tarikh tersebut warga guru dan staf SKBC turut menyambut hari Guru 2011. Tema bagi tahun ini ialah "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara". Majlis telah dimulakan dengan acara Bacaan Doa , bacaan perutusan, bacaan ikrar dan nyanyian lagu Guru Malaysia. Selepas perhimpunan guru menyertai pula sukaneka dan permainan. Bola sepak bagi guru lelaki dan bola baling bagi guru perempuan. Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan oleh pasukan guru dengan 1-0 dan bola baling dengan 4-1. Selesai bermain guru disajikan pula dengan persembahan murid - murid dari pra sekolah hingga darjah enam. Acara persembahan telah dimenangi oleh Tahun 6 Pintar yang mempersembahkan Boria. Sambutan selesai sekitar jam 1.30 petang.

Rabu, Jun 22, 2011

Guru Besar baru SKBC

SKBC dengan tangan terbuka menerima seorang Guru Besar baru bagi menggantikan Hajjah Nor Azizah Omar. Beliau yang dimaksudkan ialah Haji Saikh Kamaruden b. Saikh Ismail yang bertukar dari SK Pelong, Setiu. Beliau yang tinggal di Teluk Pasu sebenarnya sudah biasa dengan persekitaran SKBC kerana sebelum ini beliau telah lama bertugas di SMK Tengku Mizan. Keperibadian beliau yang sentiasa mesra, mudah berdiplomasi tapi tegas amat disenangi warga SKBC dan masyarakat sekitar. Semoga selamat menjalankan tugas.

Selasa, Jun 21, 2011

Majlis Persaraan Puan Guru Besar

Pada 10hb. Mac yang lalu, satu majlis sempena Persaraan Guru Besar, Hajjah Puan Nor Azizah bt. Omar telah diadakan. Puan Nor Azizah telah mula bertugas di SKBC pada akhir 2009 setelah bertukar dari SK Paya Bunga. Walaupun tempoh perkhidmatan di SKBC agak singkat namun beliau telah berjaya melonjakkan pencapaian UPSR 2010 dengan agak cemerlang.

Pada majlis tersebut, Pegawai PPD, Tuan Haji Abdul Rahman dan Yang Dipertua PIBG telah sudi meluangkan masa untuk memeriahkan majlis. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk Puan Guru Besar diiringi kumpulan bunga manggar dan kumpulan kompang. Sebagai simbolik beliau telah Punch card buat kali terakhir.
Pelbagai acara persembahan telah diadakan bagi menyerikan majlis seperti bacaan Al Quran, nasyid, deklamasi sajak, bacaan syair dan seloka. Pelbagai pihak telah tampil menghulurkan hadiah sebagai ingatan. Seluruh warga SKBC akan sentiasa mengingati sumbangan beliau dan mengucapkan selamat bersara. Semoga dapat berehat dalam keadaan aman dan tenteram. SAYONARA!

Penyampaian Watikah Perlantikan Pengawas

Pada 20hb Mac yang lalu seramai 42 orang pengawas sekolah dan 40 orang pengawas perpustakaan sekolah telah menerima Watikah Perlantikan. Watikah perlantikan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Besar, Haji Saikh Kamaruden b. Saikh Ismail. Pada tahun ini, Ketua Pengawas dijawat oleh adik Shahmim Izzat b. Mohammad dan dibantu oleh adik Syafiqah Atirah bt. Romzi.

Jumaat, Jun 17, 2011

Kejohanan Renang MSSM

SKBC telah berjaya mencatat sejarah apabila buat julung kalinya seorang murid telah terpilih mewakili negeri Terengganu ke kejohanan Renang MSSM yang berlangsung di Melaka pada 15 hb Februari yang lalu. Murid tersebut ialah adik Syahmim Izzat b. Mohammad yang mengambil bahagian bagi acara 80m kuad dada. Adik Shahmim merupakan ketua murid SKBC bagi sesi 2011.

Rangkuman Kejohanan Sukan MSSMKTU

Kejohanan Bola Baling MSSM KTU


Kejohanan kali ini berlangsung di SMK Manir pada 24hb. April hingga 27hb April. Pada peringkat kumpulan yang terdiri dari 5 pasukan menyaksikan SKBC menang semua perlawanan tanpa seri, SKBC telah muncul sebagai johan kumpulan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Pada suku akhir SKBC berjaya menewaskan SK Dalam Maktab sebelum menewaskan pula SK Kompleks Mengabang Telipot pada peringkat separuh akhir dengan 4-3. Malangnya pada final, SKBC terpaksa tunduk pada kehebatan SK Banggol dengan 3-1 untuk sekadar naib juara kejohanan. Bagaimana pun 3 orang pemain SKBC telah terpilih
mewakili Daerah KTU.


Kejohanan Bola Jaring MSSM KTU


Pertandingan peringkat kumpulan telah berlangsung pada akhir bulan February bertempat di padang SK Kompleks Gong Badak. SKBC telah mempamerkan kehebatan dengan meraih kemenangan pada semua perlawanan peringkat kumpulan menentang SK Pulau Manis, SK Bukit Wan dan SK Tok Jiring. Pada peringkat suku akhir SKBC telah berjaya menewaskan pasukan SK Kompleks Seberang Takir untuk menempah pertemuan menentang SK Bukit Tunggal pada peringkat separuh akhir. Perlawanan itu telah menyaksikan persaingan sengit dalam keadaan hujan lebat yang menyebabkan keadaan padang seperti baruh padi. Keadaan yang langsung tidak sesuai untuk sebarang permainan menyebabkan SKBC tidak dapat bermain pantas seperti biasa. Keadaan ini memberi kelebihan pada pihak lawan yang lebih tinggi untuk bermain secara fizikal. Akhirnya SKBC tumpas dengan perbezaan hanya satu jaringan untuk menduduki tempat ketiga. Ini adalah kali pertama SKBC gagal bergelar Johan setelah tiga tahun berturut - turut menjadi johan . Walau bagaimana pun tiga orang pemain SKBC telah terpilih mewakili daerah Kuala Terengganu Selatan.

Kejohanan Hoki MSSM KTU

Kejohanan pada tahun ini telah berlangsung di SK Kompleks Mengabang Telipot.  Pada kejohanan itu SKBC telah mara keperlawanan separuh akhir setelah memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan. Pada separuh akhir SKBC berjaya menewaskan SK Pulau Bahagia untuk menempah tiket ke perlawanan akhir menentang SK Gong Badak. Pada perlawanan akhir , SKBC berjaya mengikat kedudukan  0 - 0 sehingga tamat pemainan. Namun akhirnya SKBC tunduk dengan penentuan pukulan penalti untuk sekadar naib johan untuk dua tahun berturut - turut. Seramai 6 orang pemain SKBC telah terpilih untuk mewakili Daerah KTU manakala adik Raja Norasimah telah terpilih mewakili negeri ke kejohanan Hoki MSSM yang telah berlangsung di Johor Bahru baru baru ini.
      
Kejohanan Olahraga MSSM KTU

Kejohanan olahraga berlangsung di venue tetap iaitu di Trek Gong badak, Kuala Terengganu. Pada kejohanan kali ini SKBC gagal mencatat keputusan yang membanggakan dalam semua cara yang disertai.

Kejohanan Bola Sepak MSSM KTU


Pertandingan bola sepak pada tahun ini telah berlangsung di SK Kompleks Gong Badak. Hampir semua perlawanan telah berlangsung dalam keadaan hujan dan padang becak.Pada peringkat kumpulan SKBC telah tewas pada pertemuan dengan SK Padang Kemunting 2 - 1, SK Gong Badak 2 - 1 dan SK Maras dengan 3 - 1. Hanya mencatat kemenangan menentang tuan rumah dengan 3 - 2. Walaupun gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya, SKBC telah menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya.

Jumaat, Mac 25, 2011

Pertandingan Bercerita Sempena Bulan Bahasa Melayu

Sempena Bulan Bahasa Melayu yang jatuh pada bulan Mac satu pertandingan bercerita bahasa Melayu telah diadakan pada hari Selasa 1hb. Mac 2011. Pertandingan ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu Tahap 1 dan Tahap 2 mewakili 4 buah rumah sukan. Semua 8 orang peserta terdiri dari murid perempuan. Keputusan pertandingan telah memihak kepada rumah Biru apabila 2 orang pesertanya iaitu adik Nurin Syahirah kelas 6P dan adik Ummu Aiman kelas 3P telah membolot hadiah pertama bagi kedua - dua kategori. Syabas kepada pemenang!

Sambutan Maulidur Rasul tahun 1432 H


Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1432Hijrah bersamaan 2011 tahun masihi peringkat SKBC telah diadakan pada hari Khamis 24hb Feb 2011.Maulud nabi pada kali ini membawa tema "Satu malaysia, Satu Ummah" Sejak awal pagi lagi semua murid telah berkumpul di tapak perhimpunan untuk sesi pelancaran sambutan. Majlis telah dimulakan dengan sesi ceramah agama yang telah disampaikan oleh Al Fathil Ustaz Azam. Acara selawat telah diketuai oleh Cg Syed Suhaimi. Acara utama yang dijalankan pada hari itu ialah Perarakan beramai - ramai sambil berselawat ke atas nabi melalui jalan - jalan kampung Bukit Chempaka. Selain perarakan banyak aktiviti lain yang turut diadakan antaranya ialah Pertandingan Sepanduk, pertandingan kuiz dan pertandingan nasyid antara kelas. Semua aktiviti tersebut telah dapat berjalan dengan jayanya.



Kejohanan Merentas Desa SKBC 2011

Kejohanan Larian Merentas Desa telah mengisi petak pertama aktiviti Ko Kurikulum bagi SKBC tahun 2011 ini.Kejohanan tersebut telah diadakan pada hari Khamis 20 Jan. Kejohanan ini telah dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebagai sesi memanaskan badan yang kelolakan oleh seorang instruktor jemputan.  Sebanyak 6 kategori yang dipertandingkan membabitkan persaingan 4 buah rumah sukan iaitu rumah Merah, Biru , Hijau dan  Kuning. Pelepasan telah dilakukan oleh Puan Guru Besar, Pn. Nor Azizah Omar yang juga sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Kejohanan pada tahun ini telah menobatkan rumah Merah sebagai johan keseluruhan.